Friday, July 10, 2009

Sayang Natrah tidak sempat belajar PPSMI


Kehidupan perlu diteruskan walau apa jua halangan. Melihat sesuatu yang datang sebagai peluang. Setiap saat setiap detik kita berhadapan dengan pilihan. Samaada kita memilih yang baik atau yang buruk, itu semua sebab tindakan kita. Berundur semula selepas belajar Math dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak akan mampu menghapuskan kemiskinan tegar dalam negara. Warga tetap hidup dalam keadaan tersiksa dan sengsara. Survival kehidupan mesti diteruskan meskipun dengan cara dan kaedah yang salah. Kes kecurian dan samun berligar disekeliling kita.

Mengapa kita tidak melihat isu ini untuk kita kembali berusaha membina cita-cita. Cukupkah belajar Sains dan Math dalam Bahasa Inggeris untuk kita meneroka dunia perniagaan yang semakin luas dan glokal. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu lagi membina kapal selam di Torlouse. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu membeli Sukhoi second-hand dari Rusia. Apakah suatu hari nanti kita tidak perlu untuk menumpang kapal angkasa milik Vladimir Putin.

Sayang sekali Natrah telah pergi meninggalkan kita tanpa sempat belajar PPSMI. Kita umur Natrah masih panjang sudah tentu dia berminat untuk datang ke Malaysia belajar bagaimana menjadi doktor gigi yang berjaya. Sudah tentu dia akan jadi kaya raya kerana gaji doktor gigi sangat lumayan ketika ini. Ingin saja saya meminta Tan Sri Muhyiddin menangguhkan dahulu keputusan memansuhkan PPSMI pada tahun 2012. Maka dengan itu tidak sempatlah generasi saya untuk menghayati falsafah PPSMI.

Kepada sesiapa yang melahirkan anak di saat ini boleh menamakannya sebagai flip-flop. Ianya mudah untuk disebut berbanding Michael Jackson ataupun Janet Jackson. Akhirnya kita terpaksa menerima hakikat bahawa tak semua yang kita yakini itu betul. Warga sudah mula berfikir dan menilai. Kita berdoa semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Monday, July 6, 2009

Dilema Manek Urai dan Anak Felda


Habis berpilihanraya tidak bermakna segala-galanya telah selesai. Masih banyak lagi tugas dan tanggungjawab kita. Kemenangan di pihak mana pun tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi umat. Anak-anak muda di Manek Urai Lama mengharapkan pembaharuan. Kehidupan ini selamanya dilihat sebagai satu cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi bersama. Daulah perlu menjadi pemudah cara kepada permasalahan asas warga. Pemerintah yang baik prihatin dan mesra rakyat jelata.

"Varsity education is more than just getting a degree". Kata-kata ini menjadi motivasi kepada saya sejak dulu. Menginsafi bahawa ijazah hanyalah sekeping kertas fatamorgana yang tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada warga Palong. Anak-anak kecil di rancangan tidak peduli setinggi mana ilmu dan pelajaran kita. Yang penting bagi mereka adalah kita turun untuk memberi inspirasi kepada mereka. Retorik tidak penting bagi mereka.

Karier, pangkat dan kedudukan bukanlah satu matlamat atau objektif yang ingin diburu. Lebih penting untuk kita tumpukan kepada usaha dan pembangunan kepakaran. Sudah pasti ini memerlukan ilmu dan kesungguhan. Pedulikan apa yang berlaku pada isteri Rosmah yang melupakan Kg.Mertang di Seri Menanti. Ini semua tiada kaitan dengan perjuangan anak muda.

Kita dirantai dengan segala permasalahan dan kerumitan dalam melakukan perubahan. Anak-anak muda rimas dengan kata-kata pemimpin yang berfalsafah 'kita akan' dan memakai baju batik lengan panjang. Masalah ekonomi, tanah dan penempatan di Kg. Buah pala adalah buktinya. Tanah mereka dilabon oleh daulah untuk pembangunan kondominium mewah milik Sang Kapitalis. Warga yang lemah dan miskin hanya layak untuk tinggal di bawah jambatan. Bagi mereka itulah rumah dan itulah jamban.

Isunya bukan siapa yang bertanggungjawab. Isu pokoknya adalah apakah tindakan mereka yang bertanggungjawab. Warga mahu kehendak asasi hidup mereka dipenuhi. Air, api, rumah kediaman adalah keperluan asasi yang mesti diberikan secara percuma dan bukan untuk di milik negarakan. Sejak bila angin dan udara dijadikan hak milik daulah lalu ditekan kepada rakyat untuk membayarnya. Jika Michael Jackson masih hidup tentu tidak percaya akan ini semua.

Cepatlah membesar wahai anak-anak kecil. Kelak kau akan lihat dunia ini terlalu ganas dan menyiksa.

Thursday, July 2, 2009

Invest Malaysia, Makcik Felda dan Glokal


Saya sedang mencari buku ini. Saya ingin mengkaji apa itu liberalisasi ekonomi. Adakah ekonomi itu akan menjadi seperti Islam Liberal. Apakah kesannya kepada Pak Uda yang berniaga goreng pisang atau Mak Teh pemilik gerai nasi lemak tepi jalan di Seremban Jaya. Apakah bila ekonomi menjadi liberal maka anak-anak muda akan ditawarkan jawatan CEO di syarikat multinasional yang bertapak di Malaysia. Saya pasti ini semua tiada apa-apa kaitan dengan apa yang berlaku pada puaka di Universiti Malaya.

Penyenaraian Felda di Bursa Malaysia sudah pasti akan menguntungkan makcik Felda. Selepas ini Giant, Carrefour dan MidValley FeldaMall akan dibuka. Tidak perlulah makcik Felda pergi ke kedai D'Mart lagi. Tiada lagi masalah pengangkutan awam di Felda kerana LRT akan menghubungkan Felda Chemomoi hingga ke Felda Taib Andak. Saya pasti syarikat towkey CityLiner akan gulung tikar selepas ini. Ini semua kesan daripada liberalisasi ekonomi. Kita sudah menjadi Glokal. Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kita.

Menyusuri jalanraya kita melihat masih ramai lagi anak muda yang tidak memiliki pekerjaan. Baru-baru ini ada berita bagaimana warga dikurung oleh AhLong. Mereka dikurung bukan kerana main nyorok-nyorok seperti zaman kecik-kecik dahulu. Mereka dikurung kerana sistem ekonomi yang kita ada hari ini. Mereka terpaksa meminjam untuk survival hidup. Demi kehidupan mereka bertarung dalam ekonomi kapitalis yang mencengkam dan mengamalkan riba'. Ringgit dan Dolar menjadi berhala sembahan manusia baru. Kaum pemodal terus mencengkam warga agar tunduk kepada riba' dan judi. Invest Malaysia tidak akan mampu menyelesaikan masalah anak muda yang dibebani riba' PTPTN.

Cukuplah slogan dan nama-nama canggih yang berselirat dan berligar di sekeliling kita. Secanggih dan sehebat manapun namanya i.e Invest Malaysia, Glokal dan Global, jika masalah asasi warga tidak diselesaikan maka kita akan berpusing di dalam kolam busuk yang sama. Sistem ekonomi Islam perlu berubah dengan lebih berpusat kepada keperluan rakyat. Mansuhkan caj perkhidmatan yang tinggi. Hapuskan rasuah dan penyelewengan. Biarkan warga mendapat akses maklumat setiap projek mega yang dijalankan oleh daulah. Sibuk membina jambatan ke Singapura tidak akan menyelesaikan masalah warga Kg Buah Pala yang kehilangan tanah untuk hidup. Ia juga tidak menyelesaikan masalah warga yang suka makan babi di Kedah.

Tuesday, June 30, 2009

Petronas, Gas Asli dan Selsema Babi


Kita perlu bekerja untuk maju. Menjadi anak muda yang hidup di Malaysia memerlukan sepenuh tenaga memerah keringat untuk agenda pencerahan Malaysia baru. Hari ini di satu sudut kita melihat daulah berebut memunggah hasil mahsul negara. Dari minyak petroleum sehingga ke gas asli, semua rezeki Ilahi dalam perut bumi ini menjadi agenda kepentingan peribadi. Tak percaya sila selak akhbar dan berita sana sini. Kapitalis sedang dan sentiasa menindas kepentingan awam milik pribumi.

Mengapa tidak kita turun ke bawah melihat apa masalah di kalangan warga. Virus selsema babi telah menyebabkan anak-anak kecil di Assunta tidak boleh bersekolah. Ancaman wabak ini satu amaran kepada warga yang mungkin ingkar dan lalai terhadap aturan yang Maha Esa. Mungkin ini petanda dunia akhir zaman dunia. Kita selalu terlupa bahawa dunia ini hanya transit sebelum ke alam kekal.

Warga mengharapkan satu perubahan yang drastik bukan plastik. Warga mahu kehidupan mereka dipermudahkan bukan diserabutkan. Warga mahukan keamanan dan ketenangan dalam kehidupan. Warga mahu tahu apa yang berlaku pada Kugan. Apa sudah jadi dengan anak muda puaka yang ditangkap di kampus Universiti Malaya. Ini benar-benar menjadikan kampus berpuaka itu lebih berpuaka. Apakah anak muda itu tidak takut dibom dengan C4. Ini betul lambang keberanian anak muda.

Sampai suatu ketika kita terpaksa mengorbankan jiwa dan raga untuk sebuah perubahan. Impian untuk membina empayar perniagaan. Cita-cita untuk mengahwini puteri raja yang chic dan trendy. Harapan untuk melihat ISA dimansuhkan. Semua ini memerlukan anak muda terus membaca dan menimba ilmu di mana jua. Memiliki segulung ijazah kini tidak lebih dari budak tabika belajar bermain play-doll. Awas ini bukan baby-doll dari China yang ada di Bukit Bintang.

Friday, June 26, 2009

Michael Jackson, Rosmah Mansor dan Kebangkitan Anak Muda Iran


Kali pertama saya mengenali dengan Michael Jackson 13 tahun dulu. Sewaktu itu saya masih kecil dan berhingus. Saya mengenalinya kerana lagu Black or White. Mengikut kamus PPSMI ia bererti Hitam atau Putih. Saya tidak tahu apa yang hitam dan apa yang putih. Mungkin hitam itu jahat putih itu baik. Mungkin hitam itu tanda kegelapan dan putih itu tanda pencerahan. Michael memilih untuk menjadi putih kerana inginkan pencerahan. Michael tidak takut berubah dari hitam kepada putih. Ini tidak bermakna Michael ingin menyertai Pakatan Rakyat.

Hari ini kita sebagai warga hidup dalam percanggahan ideologi pemikiran. Malaysia meskipun telah merdeka 51 tahun namun kita masih dibelenggu ideologi perkauman. Kenyataan seorang mufti baru-baru ini supaya umat Melayu meniru cara masyarakat Cina ada benarnya. Apabila kita lemah kita mesti mencari jalan untuk bersatu. Bila kita bersatu maka kaum lain akan terpinggir dan menderita. Ekonomi kaum lain akan lemah bila Melayu bersatu. Soalnya mengapa hari ini di Pusat Serenti yang ramainya adalah umat Melayu. Apakah ini kesan dan akibat Math dan Sains tidak diajar dalam Bahasa Inggeris.

Di sudut pandang yang lain kita melihat anak-anak muda terus terpinggir dalam arus kemodenan.Anak muda Melayu yang tergila-gilakan Michael Jackson tidak mampu membacakan Al-Fatihah selepas pemergiannya. Anak muda Melayu yang hanya mampu merempit di Jalan Senawang - Kuala Pilah sebagai belangsungkawa atas pemergian arwah. Mereka meluahkan rasa sedih dengan bercanda bersama aweks dan balak walaupun Michael Jackson tidak pernah pun sekali pergi bersolat Jumaat di surau taman mereka.

Di kala ini juga anak-anak muda di Iran menumpahkan darah di jalanraya mendobrak daulah yang tidak mesra anak muda. Daulah dengan teologi ekstrim mengongkong pemikiran dan idealisme anak-anak muda Tehran. Anak-anak muda ini bangkit menentang kebobrokan ini menuntut kebebasan dan ketelusan dalam pilihanraya daulah. Mereka mahukan hak asasi dan kebebasan bersuara diwujudkan semula. Akhirnya jalanraya di Tehran kini bermandi darah anak-anak muda menolak autokratik kepimpinan Ahmadinejad.

Menyusuli tindakan itu kita melihat hari ini masyarakat mula berubah. Dahulu tidak ada twitter untuk makcik Felda. Kini makcik Felda telah mempunyai twitterberry sehingga boleh menonton video klip Isteri Rosmah. Sungguh tidak bersopan mereka ini menghina isteri kesayangan Perdana Menteri kita. Sempena menggubal undang-undang ISA nanti saya cadangkan agar kita menyunatkan semula mereka yang upload video klip dalam YouTube ini. Soalnya bolehkah kita membuat undang-undang untuk seseorang itu bersunat 2 kali?

Kematian Michael Jackson itu telah menyatukan kita semua. Samaada kita dalam UMNO, PAS, PKR atau PPP (haha) kita sama-sama bersedih di atas pemergian Raja Pop yang begitu masyhur ini. Lupakan samaada dia telah memeluk agama Islam atau tidak. Yang penting kita tidak perlukan kerajaan Perpaduan kerana Michael Jackson telah pun menyatukan kita 1Malaysia.

Maaf saya ingin beritahu bahawa Michael Jackson tidak pernah sampai ke Felda Palong untuk menganjurkan Khemah Ibadah.

Tuesday, June 23, 2009

mengubah persepsi terhadap duit


Memang benar apa yang ada di minda kita itu sebahagian daripada diri kita. Kita adalah insan yang sama-sama lahir di atas muka bumi ini untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah. Tidak dapat tidak kita mesti menghadapi kenyataan bahawa hidup ini perlukan duit untuk bergerak. Duit bukan segalanya tapi hampir segalanya memerlukan duit. Mengikuti kursus Personal Financial Intelligence (PFi) baru-baru ini 110% mengubah jalur pandangan hidup saya terhadap satu perkara iaitu - MONEY!

Hari ini saya memahami bahawa kesemua yang berlaku di sekeliling adalah berasaskan kepada ekonomi. Ekonomi ini pokok pangkalnya adalah duit. Kerajaan perpaduan yang digembar-gemburkan itu sebenarnya aliran kepentingan ekonomi kaum kapitalis yang mahukan survival mereka terpelihara. Yang membawa mesej nasionalis atau agama hampir sama sahaja. Yang membezakan hanya pada lambang dan warna. Hakikatnya kentut itu sama saja busuknya.

"Money is an idea". Duit itu adalah idea. Ditakdirkan saya dilahirkan bulan November yang salah satu ciri orang yang lahir bulan ini ialah mempunyai banyak idea dalam banyak perkara. Jadi saya mestilah banyak duit oleh kerana saya banyak idea. Namun harus diingat idea saja tidak cukup tanpa pengetahuan dan tindakan.

"Knowledge without action has no power".
Ini tidak bermakna saya ingin bertanding Ketua Pemuda UMNO Kampung Gagu. Jangan salah faham. Saya tidak pernah mencadangkan agar diwujudkan kerajaan perpaduan. Saya cuma ingin mencadangkan agar diwujudkan kerajaan yang mengajar anak-anak muda tentang duit. Saya rasa tidak ada masalah pengangguran di Malaysia jika kita benar-benar memahami hakikat dan makna duit.

Pada saya tergolek tergelantang ahli politik bercakap soal berkhidmat kepada rakyat akan kembali kepada warga juga. Warga yang memilih samaada inginkan yang baik atau yang buruk. Hari ini kita melihat anak-anak muda tidak lagi terkangkang seperti dulu. Anak muda kini bermaklumat yang mereka dapat daripada twitter, myspace dan facebook. Hasrat saya untuk semua makcik Felda memiliki twitter masih belum kesampaian.

Semoga saya dan anak-anak muda di sekeliling saya akan meneruskan agenda pencerahan bagi warga 1Malaysia walaupun kami tidak belajar Sains dan Math dalam Bahasa Inggeris. Doakan kami ye.

Thursday, June 18, 2009

menghadkan 10 subjek dalam SPM


Pendidikan itu adalah apa yang tinggal setelah semua yang dipelajari dilupakan. Kita bersyukur mempunyai Menteri Pelajaran yang bijak bergeliga seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin . Cadangan untuk menghadkan 10 mata pelajaran dalam SPM adalah cadangan yang sungguh mengujakan. Selepas ini para pelajar boleh menumpukan kepada aktiviti ko-kurikulum katanya. Selepas ini para pelajar tidak lagi akan dilihat cerdik dengan memakai tali leher sebesar sejadah di tengah cuaca panas. Ini untuk menolak tanggapan bahawa Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Hahaha.

Terbarai kahak di tekak apabila mendengar hujah Pak Menteri sebegini. Jika benar ingin menekankan pada pembangunan pelajar sepatutnya kita membuka ruang pendidikan ini seluas-luasnya bukan menghadkan. Semua kita tahu bahawa zaman ini bukan lagi zaman lam mim ba wau seperti dulu. Zaman ini ialah zaman twitter dan facebook. Tanya saja kepada cikgu Google maka akan keluarlah segala jawapan bagi tiap sesuatu persoalan. Dari dalam kain hingga ke atas langit, semua ilmu ini boleh didapati dengan hanya duduk di depan laptop atau PC sendiri.

Mengapa kita tidak membenarkan anak muda untuk mencabar diri mereka. Mengapa old tai hari ini suka untuk menyekat potensi dan abiliti anak muda. Biarkan mereka mengambil seberapa banyak subjek yang mereka suka kerana yang mengambil peperiksaan adalah mereka bukan Pak Menteri. Sekali lagi trend patronising ini menjadi asbab kemandulan anak muda Melayu. Mengapa sibuk sangat menghadkan subjek dalam SPM ini. Adakah tidak ada idea lain untuk membawa pendidikan negara maju ke depan.

Mungkin masih ada buta dan tuli tidak menyedari bahawa dalam negara ini ada hantu yang menghalang anak muda terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum. Hantu ini dinamakan AUKU. Tak perlu bercakap soal pembangunan minda, pemikiran kritikal, pembangunan spiritual dan modal insan jika hantu ini tidak dimansuhkan. Berapa kali pihak daulah ingin GAMIS menghantar memorandum dan mengusung keranda ke SUHAKAM agar memansuhkan hantu ini. Sepatutnya isu inilah yang perlu didahulukan berbanding menghadkan 10 subjek SPM ini.

Jangan sampai nanti ada pula cadangan supaya semula pelajar dalam negara ini disunatkan sekali lagi.

Wednesday, June 17, 2009

Tok Guru, Unity Government dan Lee Kuan Yew


Kalaulah saya mempunyai modal yang banyak saya ingin menjadi seperti Rupert Murdoch. Taikun News Corporation yang membuat onar dan propaganda di seluruh dunia. Sudah pasti dunia akan kucar kacir dan kebengongan dek kerana berita-berita palsu dan bohong yang dicoret oleh wartawan-wartawan suruhan saja. Saya akan mencipta dan memalsukan apa saja berita. Dari ayam jadi kambing sehinggalah khinzir boleh dijadikan suri rumah tangga.

Mereka yang menguasai media cetak sangat berpengaruh dan berkuasa. Tidak hairan jika seorang pemimpin yang inginkan kuasa kekal abadi akan menguasai atau mengawal media cetak ini. Warga akan membaca berita dan huha yang dilapor dan direka oleh kabal-kabal kapitalis ini. Benar struktur ekonomi, politik dan sosial sangat mempengaruhi kemajuan sesuatu negara. Benar juga bahawa kesemua ini ada kaitan dengan kepentingan ekonomi untuk seseorang pemimpin di tampuk kuasa. Siapa tidak kenal Utusan sila bersunat semula.

Sesuatu berita jika tidak ditapis dengan otak yang waras lagi berfikrah mudah menjadi hu-ha dalam masyarakat. Jika tidak pun ia akan mengalihkan pandangan dan nafsu kita ke arah sesuatu yang tidak penting berbanding perkara yang penting. Isu rampasan kuasa di Perak lebih penting untuk diikuti daripada kerajaan perpaduan. Perpaduan apa lagi sedangkan air dan minyak memang tidak boleh bercampur.

Jika ada titik persamaan dan penyatuan kita boleh lakukan secara terbuka dan berterus-terang. Tidak perlu bersembunyi atau berselindung di sebalik bulu ayam. Berselindung ini perangai musang yang berbulu ayam. Persoalannya mengapa bila gerombolan lemah baru timbul untuk bersatu dan berpadu. Mengapa tidak dulu lagi bersatu dan berkahwin. Inilah masalahnya apabila kita mempunyai kepentingan ekonomi. Politik tidak dapat tidak berkait dengan ekonomi.

Mengapa Lee Kuan Yew melawat Malaysia tidak diketahui maksud sebenarnya. Namun kita harus berhati-hati agar tidak diperbodohkan Negara Temasik seperti perjanjian air mentah dari Negeri Johor, Tanah KTM dan yang terbaru Pulau Batu Putih. Sebaik manapun Singapura kita harus sedar mereka penuh dengan idea tipu helah a.k.a kabal Zionis.

Jikalau saya mengambil alih Utusan Malaysia saya akan mengarahkan wartawan saya menulis di hadapan akhbar esok "Lim Kit Siang masuk menjadi ahli PAS seumur hidup" .